28 September 2010

Kertas Kerja CTU 551

TAJUK

MUALAF - SAUDARA BARU

DISEDIAKAN OLEH: ASLIZANOOR BINTI ASNAN
BMB2AC
2009165589

ISI KANDUNGAN:

ABSTRAK

Islam adalah agama yang universal. Ini kerana, agama Islam bukan hanya merangkumi kehidupan beragama seseorang muslim tetapi juga merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah aspek ekonomi, politik,pendidikan, social dan sebagainya. Islam juga adalah satu agama yang indah, damai, serta mudah kerana agama Islam berkembang seiring dengan kehidupan insan. Inilah antara keistimewaan yang telah menarik perhatian segelintir golongan untuk mengenal dan mempelajari Islam, dan seterusnya mendorong golongan ini untuk memeluk agama Islam atau lebih dikenali dengan panggilan “muallaf”. “Muallaf” membawa maksud orang yang baru memeluk agama Islam. Muallaf juga dikategorikan sebagai orang yang baru ingin menjinakkan diri dengan agama Islam samada dari segi pertuturan, pergaulan, berpakaian, dan cara hidup. Muallaf juga dianggap sebagai seorang yang masih lemah imannya dan memerlukan bimbingan dan bantuan daripada orang yang lebih berpengalaman. Selain daripada itu, muallaf atau dipanggil dengan nama lain sebagai saudara baru ini juga haruslah dipelihara hak-hak mereka kerana mereka adalah umpama bayi yang baru lahir yang belum mengenal dunia. Antara hak-hak seorang muallaf adalah seperti hak untuk mendapat pendidikan, perlindungan, bantuan kewangan, keselamatan dan mungkin juga tempat berteduh bagi golongan muallaf yang mengalami nasib tidak baik apabila dibuang oleh keluarga sendiri. Oleh sebab itu, pengislaman seorang saudara baru atau muallaf perlulah dari keinginan yang lahir dari hati dan diri sendiri. Dan bukannya disebabkan oleh faktor-faktor seperti paksaan dari segelintir pihak atau sebagainya. Ini semua adalah untuk mengelakkan sebarang persepsi buruk daripada pihak lain terutamanya pihak yang bukan Islam. Biasanya, pengislaman seorang saudara baru atau muallaf ini terjadi apabila seseorang insan itu menerima cahaya petunjuk dan hidayah daripada Sang Pencipta, Allah SWT kepada hambanya yang dikehendaki. Walaubagaimanapun, apabila seseorang itu memeluk Islam, bererti dia telah keluar daripada agamanya dan dia haruslah meninggalkan semua perkara yang berkaitan dengan agamanya sebelum ini. Dan seseorang itu haruslah bersikap terbuka dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi semua rintangan dan dugaan pada masa akan datang. Ini kerana, tidak semua golongan masyarakat hari ini sudah bersikap terbuka dan dapat menerima keadaan ini. Ini disebabkan oleh persepsi mereka bahawa apabila seseorang itu memeluk Islam, maka dia sudah terkeluar daripada bangsa dan keturunannya dan menganggap bahawa apabila seseorang itu memeluk Islam maka kehidupannya akan lebih terkongkong. Mereka beranggapan, seseorang yang telah memeluk Islam itu telah terikat dengan kehidupan seorang Muslim yang mengharamkan perkara yang menurut agama lain sebagai tidak haram.


PENDAHULUAN

Assalammuailaikum w.b.t,

Bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan peluang untuk membuat kajian mengenai tajuk yang sangat bermakna dan sangat menarik iaitu “Muallaf” atau sering dipanggil dengan nama “Saudara Baru”. Nikmat kesyukuran dipanjatkan juga kerana telah diberikan kesihatan yang baik serta keluangan masa untuk menyiapkan kertas kerja bagi kursus CITU 551 (Centre for Islamic Thoughts and Understanding) ini. Tajuk Muallaf atau Saudara baru ini sangat bermakna bagi saya kerana ianya telah membuka minda dan hati saya untuk mempelajari dan mengkaji tajuk ini dengan lebih mendalam. Terus terang saya katakan, sebelum ini saya hanya tahu bahawa muallaf ini hanyalah panggilan untuk seseorang yang telah memeluk agama Islam. Saya tidak pernah tahu dengan lebih mendalam tentang isu muallaf ini. Tetapi, setelah saya menjalankan satu temuramah terhadap seorang muallaf yang juga kenalan saya serta dibantu dengan kajian yang telah saya lakukan melalui maklumat daripada internet, saya berasa sangat bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk lebih memahami tentang apa sebenarnya yang tersirat di dalam perkataan Muallaf ini. Perkataan muallaf sering difahami dengan maksud seseorang yang beragama lain seperti Hindu, Buddha, Kristian, Pagan dan sebagainya telah memeluk agama yang dibawa oleh Nabi Allah, Muhammad SAW iaitu agama Islam. Di dalam kertas kerja ini, saya akan menjelaskan tentang skop-skop atau bidang yang telah saya kaji berkaitan dengan tajuk muallaf ini. Antara skop-skop yang telah saya kaji adalah pengertian atau definisi sebenar muallaf dari segi bahasa, istilah, definisi oleh para-para ulama serta definisi semasa. Seterusnya, saya juga telah menyediakan di dalam kertas kerja ini mengenai hak-hak seorang muallaf selepas memeluk agama Islam, syarat-syarat untuk memeluk Islam serta perkara-perkara yang boleh membatalkan keislaman seseorang. Kertas kerja ini adalah bertujuan untuk menyalurkan maklumat tambahan mengenai konsep sebenar muallaf. Ini bagi membolehkan semua pihak mengetahui sedikit sebanyak pengetahuan mengenai muallaf yang berkemungkinan boleh digunakan oleh pihak yang memerlukan. Pengetahuan bukan sahaja sebagai persediaan untuk menjawab kertas peperiksaan tetapi juga sebagai maklumat sampingan untuk semua pihak bagi membolehkan mereka berkongsi maklumat dan sebagai topik perbincangan. Apa yang saya harapkan melalui penulisan saya ini agar semua pihak dapat membuka minda dan berfikir secara lebih luas bahawasanya dorongan dan bimbingan kepada golongan muallaf ini adalah sangat penting dan saya berharap agar syariat Islam akan dapat dikembangkan lagi agar lebih banyak golongan yang digelar sebagai muallaf ini. Insyallah.


KONSEP

Antara skop-skop yang terdapat di bahagian ini adalah seperti berikut:

1. Definisi- definisi muallaf:

(a) Bahasa

(b) Istilah

(c) Definisi para-para ulama

(d) Definisi semasa

2. Hak-hak seorang muallaf

3. Syarat-syarat untuk memeluk Islam

4. Hal-hal yang membatalkan keislaman

1. Definisi-Definisi Muallaf

Perkataan mualaf ini ada disebut oleh Allah SWT di dalam Al-Quran melalui Surah al-Taubah ayat 60, yang bermaksud:

" Sesungguhnya sedekah-sedekah ( zakat ) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk ( dibelanjakan pada ) jalan Allah SWT, dan orang-orang musafir ( yang keputusan ) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah SWT. Dan (ingatlah) Allah SWT amat mengetahui lagi amat bijaksana “.

Kalimah “ wal muallafati qulubuhum” yang terdapat dalam Surah al-Taubah ini membawa maksud seseorang yang hatinya cenderung kepada agama Islam dan ingin memeluk Islam. Terdapat empat definisi yang boleh menerangkan maksud perkataan muallaf baik definisi dari segi bahasa, istilah, definisi oleh para-para ulama serta definisi semasa.

(a) Definisi dari segi bahasa

Dari segi bahasa, mualaf telah di definisikan di dalam Ensiklopedia Islam (2005: 48-49) sebagai orang yang diambil hatinya agar masuk Islam dan memperkuatkan keislamannya. Perkataan “mualafatu qul” yang disebut oleh masyarakat umum, membawa maksud mualaf sebagai seorang yang baru memeluk Islam dan memiliki pengetahuan yang minima mengenai Islam. Selain daripada itu, di dalam Kamus Dwibahasa (1997: 265) maksud mualaf atau Muslim Convert telah didefinisikan sebagai orang yang telah menukar agama asalnya kepada agama Islam. Daripada kesemua definisi yang telah dikemukakan, jelaslah menunujukkan bahawa dari segi bahasa, mualaf bermaksud saudara baru yang baru memeluk agama Islam.

(b) Definisi dari segi istilah

Definisi dari segi istilah pula, perkataan mualaf merujuk kepada perkataan buhum yang termaktub di dalam ayat 60 surah al-Taubah sebagai orang yang baru memeluk agama Islam atau orang yang baru ingin berjinak-jinak dengan agama Islam.

(c) Definisi oleh para ulama

Pengertian mualaf juga diertikan oleh golongan para ulama yang termuka. Menurut Sayyid Qutb (1985), beliau telah mentafsirkan mualaf sebagai golongan manusia yang kembali kepada Islam serta kekal dan beramal baik keislamannya. Sayyid Qutb juga berpendapat, dengan pemberian zakat ianya merupakan satu inisiatif yang dapat menyatukan hati mualaf ini, mengukuhkan serta menambahkan rasa cintanya terhadap Islam.Selain itu juga, ulama semasa yang tersohor, rawi dan al-Qardhawi ( 2001: 149 ) mentakrifkan mualaf adalah mereka yang kita jinakkan hati mereka dan galakkan mereka untuk menerima Islam atau sebagai tempat pertolongan bagi Muslimin. Rawi dan Qardhawi juga membahagikan mualaf kepada dua jenis iaitu muslim dan kafir. Mualaf Muslim ialah mereka yang telah memeluk Islam tetapi niatnya masih lemah. Pemberian zakat untuk golongan ini adalah untuk menguatkan iman mereka. Tetapi bagi mereka yang telah memeluk Islam dan niatnya telah kuat terhadap Islam dan mulia di sisi kaumnya, tidak perlu diberi zakat menurut para ulama ini. Manakala mualaf kafir ialah mereka yang membantu Muslimin untuk memberhentikan kerosakkan oleh kaum kafir dan diberikan layak untuk diberikan zakat. Para ulama-ulama ini mempunyai pendapat yang sama mengenai mualaf iaitu mualaf adalah golongan yang masih lemah imannya dan mereka layak mendapat sebahagian daripada pembahagian zakat.

(d) Definisi semasa

Didalam konteks semasa terutamanya di kalangan rakyat Malaysia, mualaf lebih dikenali sebagai saudara India atau Cina yang baru memeluk agama Islam. Antara lain, di dalam penulisan Anuar Puteh ( 2005: 30 ) melalui bukunya yang bertajuk “Masa Depan Saudara Baru – Harapan, Realiti dan Cabaran”, beliau mendefinisikan saudara baru sebagai mereka yang telah melafazkan kalimah syahadah dan golongan Muslim yang wajar diberi bimbingan dan perhatian oleh golongan yang lebih berpengalaman. Manakala konteks lain yang lebih jelas telah dikemukakan oleh Amran Kasimin (1985:1), yang memberikan pengertian bahawa saudara baru adalah orang orang yang dipujuk dan dijinakkan hatinya dengan harapan dapat menguatkan pegangan mereka terhadap Islam atau orang-orang yang dipujuk supaya tertarik untuk memeluk Islam. Konteks ini dibahaskan lagi sebagai bandingan definisi yang dinyatakan oleh Haji Dusuki bin Haji Ahmad (1980: 219), di mana beliau menyifatkan mualaf sebagai orang yang baru memeluk agama Islam. Beliau juga menerangkan bahawa saudara baru adalah orang yang mana imannya belum teguh dan mereka berhak menerima sebahagian daripada harta zakat. Melalui pendapat dan takrif yang diberikan ini, kita telah lebih jelas bahawa mualaf adalah saudara baru Muslim yang mana mereka adalah golongan yang masih lemah imannya dan sedikit pengetahuan mengenai agama yang sangat memerlukan bimbingan dan pertolongan daripada mereka yang berkelayakan. Dan pemberian zakat adalah merupakan bantuan awal yang harus diberikan kepada golongan mualaf agar mereka lebih bersemangat untuk lebih mendalami Islam.

Walaubagaimanapun, pengislaman seorang saudara baru ini juga tercetus daripada beberapa faktor seperti faktor mendapat hidayah daripada Allah SWT, faktor paksaan atau ikut-ikutan, faktor perkahwinan, serta faktor kepentingan diri.

2. Hak-Hak Seorang Mualaf

Tidak dinafikan bahawa Islam adalah satu agama yang sangat menitikberatkan kebajikan umatnya. Ini kerana, Islam tidak hanya memberikan pertolongan kepada umatnya yang beragama Islam tetapi juga kepada golongan yang ingin memeluk Islam atau mempelajari Islam. Keadilan dalam agama Islam lebih menonjol apabila Islam telah menggariskan hak-hak seorang mualaf. Islam tidak mengira jenis bangsa, warna kulit dan keturunan dalam menjamin kebajikan umatnya terpelihara agar masyarakat Islam itu dapat menempa kejayaan hidup di dunia mahupun akhirat. Antara hak-hak seorang mualaf ialah:

(a) Hak untuk mendapat pendidikan, keselamatan dan perlindungan.

(b) Hak untuk mendapat bantuan kewangan seperti pemberian sebahagian zakat.

(c) Hak untuk menuntut hak penjagaan anak.

(d) Hak untuk mendapat harta pusaka.

(a) Hak untuk mendapat pendidikan, keselamatan dan perlindungan.

Seorang mualaf mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungandan keselamatan. Perlindungan ini termasuklah perlindungan seperti keselamatan, dan juga tempat berteduh. Ini kerana, bagi memelihara saudara baru ini daripada ancaman daripada pihak-pihak yang ingin menjatuhkan Islam dengan mengganggu atau mengancam golongan mualaf yang masih “mentah” ini. Golongan ini haruslah diberikan perlindungan dengan sebaik-baiknya bagi mengelakkan sebarang fitnah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain daripada itu, golongan mualaf ini juga berhak untuk diberikan pendidikan agama yang sepatutnya. Antara langkah-langkah untuk mendididk saudara baru ini adalah dengan mengadakan kursus atau seminar bagi mengajar dan memberikan maklumat berkenaan ilmu fardhu ain, hukum-hukum Islam, sejarah-sejarah Islam dan sebagainya. Di samping itu juga, golongan baru ini juga boleh mencari maklumat tambahan berkenaan agama Islam melalui internet, perpustakaan dan juga bertanya dengan orang yang lebih berpengalaman. Seperti yang dapat kita lihat hari ini, buku-buku berkaitan hal agama adalah mudah untuk didapati dan ini juga membolehkan golongan mualaf ini untuk menimba ilmu berkaitan agama walau dimana pun mereka berada.

(b) Hak untuk mendapat bantuan kewangan.

Golongan mualaf atau saudara baru ini juga berhak untuk mendapat bantuan kewangan seperti bantuan zakat. Perkara ini telah dijelaskan dalam Surah al-Taubah ayat: 60, Allah SWT berfirman:

" Sesungguhnya sedekah-sedekah ( zakat ) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk ( dibelanjakan pada ) jalan Allah SWT, dan orang-orang musafir ( yang keputusan ) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah SWT. Dan (ingatlah) Allah SWT amat mengetahui lagi amat bijaksana “.

Melalui surah ini, maka jelaslah bahawa seseorang mualaf itu juga mempunyai hak ke atas sebahagian wang zakat sebagai pembakar semangat untuk mereka terus berjuang didalam mempelajari dan seterusnya memperjuangkan agama Islam. Antara lain, bantuan zakat ini juga bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada golongan mualaf ini kerana telah berjaya mengharungi segala rintangan hidup dan memilih Islam sebagai pembimbing dunia dan akhirat seseorang hamba Allah SWT.

(c) Hak untuk menuntut hak penjagaan anak.

Seseorang mualaf itu juga mempunyai hak untuk merebut hak penjagaan anak sekiranya beliau telah bercerai dengan suami atau isteri beliau. Perkara ini telah dijelaskan melalui hukum syarak bahawa seorang kanak-kanak itu adalah beragama Islam apabila salah satu daripada ayah atau ibunya adalah beragama Islam dan hak penjagaan kanak-kanak itu wajib diberikan kepada ibu bapa yang beragama Islam bagi memelihara agama, hatra, keturunan, akal serta nyawa kanak-kanak tersebut. Perkara ini disokong teguh juga melalui firman Allah SWT dalam Surah A-Nisa’ ayat: 141 yang bermaksud:

“Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang kafir untuk membinasakan orang beriman”

Di samping itu juga, Imam Al-Shafie turut menyokong perkara ini dengan mengatakan bahawa syarat umum pihak yang diberi hak penjagaan anak (haadin) adalah cukup umur, sempurna akal, berkeupayaan mendidik kanak-kanak, berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah dan seorang Islam. Ini bermaksud, seorang mualaf itu adalah lebih layak untuk mendapatkan hak penjagaan anak kerana seorang mualaf itu adalah menepati kriteria yang diperlukan untuk membimbing dan mendidik seorang kanak-kanak.

(d) Hak untuk mendapat atau meninggalkan harta pusaka.

Seseorang mualaf juga mempunyai hak untuk meninggalkan dan diberikan harta pusaka. Perkara ini berdasarkan kepada Surah al-Nisaa' ayat 7, 11 dan 12 yang memberi garis panduan tentang waris-waris yang berhak dan juga kadar pembahagian harta. Dalam ayat 7, Allah berfirman yang bermaksud:

"Orang-orang lelaki ada bahagian dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)."

Dalam ayat 11 yang menyebut, "sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati" dan ayat 12, "sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan'' tidak menyatakan berapa banyakkah jumlah yang boleh diwasiatkan daripada harta pusaka si mati dan juga tidak menghadkan jumlah harta yang boleh diwasiatkan. Sungguhpun si mati tidak menyatakan tentang berapa bahagian yang diberikan, namun seseorang waris itu tidak boleh mendapat bahagian melebihi satu pertiga daripada harta pusaka itu. Perkara ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW melalui hadithnya yang berbunyi:

“Apabila seorang sahabat Baginda ingin mewasiatkan seluruh harta bagi tujuan khairat kebajikan am, ini akan menyebabkan warisnya (seorang anak perempuan) dibiarkan tanpa harta. Jadi demi menjaga kepentingan warisnya, Rasulullah s.a.w memerintahkan tidak lebih daripada satu pertiga boleh diwasiatkan untuk tujuan khairat tersebut.”

3. Syarat-Syarat Untuk Memeluk Islam

Untuk seseorang itu memeluk agama Islam, terdapat satu syarat yang paling penting untuk dia bergelar seorang muslim iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Hanya inilah syarat untuk seseorang itu bergelar muslim. Antara dalil yang menyokong kenyataan ini adalah apabila Rasulullah menerima golongan-golongan yang ingin memeluk Islam, Rasulullah hanya mewajibkan ke atas mereka untuk mengucap dua kalimah syahadah. Dua kalimah syahadah:

“Asyhadu allaa ilaaha ilallaah, wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah”

Maksudnya: Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa

Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.

Apabila seseorang itu telah mengucapkan dua kalimah syahadah, maka diwajibkan keatasnya untuk menunaikan segala perintah Allah SWT sepertimana yang telah diwajibkan ke atas umat-umat yang lain seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji bagi yang mampu, mengeluarkan zakat dan membaca al-Quran. Begitu juga dengan segala larangan-larangan Allah SWT, hendaklah mereka meninggalkannya seperti menjauhi zina, arak, dan judi. Perkara ini ada diterangkan di dalam Musnad Al-Imam Ahmad yang menerangkan ketika kaum Tsaqif ingin memeluk Islam, mereka mengajukan dua syarat kepada Rasulullah SAW, iaitu supaya mereka dibebaskan daripada kewajipan menunaikan sedekah dan berjihad. Namun, Rasulullah SAW bersabda: “Mereka akan melakukan sedekah dan jihad”. Melalui sabda Rasulullah ini, maka jelaslah bahawa golongan mualaf ini tidak akan sesekali terlepas dan terhindar daripada melakukan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Dan sesungguhnya apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT itu adalah untuk kebaikan para hamba-hambanya.

4. Hal-Hal Yang Membatalkan Keislaman

Apabila seseorang itu telah mengucapkan dua kalimah syahadah, maka dia telah pun tergolong sebagai seorang Muslim dan dia adalah diantara umat Rasulullah SAW. Maka, wajib baginya untuk melakukan hukum-hukum Islam, beriman dengannya serta memelihara kesucian agama Islam.wajib juga ke atasnya untuk melaksanakan segala ketetapan dan perintah Allah SWT yang telah digariskan di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Seseorang Muslim itu tidak ada yang terkecuali dari melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangannya. Perkara ini telah dijelaskan melalui Surah Al-Ahzab, ayat: 36, yang bermaksud:

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi wanita yang

Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada

bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka…”

Islam telah memberikan garis panduan kepada umatnya berkenaan perkara-perkara yang telah diwajibkan dan juga yang telah diharamkan (dilarang) dan seharusnya tidak ada sebarang keraguan yang timbul mengenai perkara ini. Demikian pendapat para-para ulama:

“Hukum-hukum agama yang sudah jelas diketahui”

Perkara-perkara yang wajib itu termasuklah kewajipan solat lima waktu, berpuasa, zakat dan sebagainya. Manakala, perkara-perkara yang ditegah itu adalah seperti membunuh, zina, minum arak, berjudi dan sebagainya. Perkara-perkara ini jika dilanggar maka ianya membawa kepada dosa besar kerana perkara-perkara ini telah dijelaskan di dalam al-Quran dan tidak diragukan lagi hukumnya. Barangsiapa yang mengingkari perintah ini atau mempersendakan perintah Allah SWT maka dia adalah tergolong dikalangan orang yang sesat dan murtad. Ini juga ditujukan kepada seseorang yang bergelar mualaf kerana sebaik sahaja mereka mengucap dua kalimah syahadah maka wajib baginya untuk melaksanakan hukum-hukum Islam.


HURAIAN

Pada 15 September yang lalu, saya telah menemu ramah seorang mualaf atau saudara baru untuk disertakan sekali bersama kertas kerja ini sebagai contoh kepada perkembangan mualaf di Negara kita. Temuramah ini telah saya jalankan melalui panggilan telefon dan melalui email kerana jarak kami yang jauh. Shila (bukan nama sebenar) berasal dari Tawau, Sabah telah memeluk agama Islam pada 22 Januari 2003. Beliau merupakan isteri kepada pakcik saya dan beliau memiliki tiga orang cahaya mata. Berikut adalah penceritaan semula pengislaman Shila:

Soalan: Bagaimana pengalaman semasa mengenal Islam:-

Saya (Shila) telah mula mengenali Islam semasa berada di sekolah menengah. Ketika itu saya berumur 14 tahun dan berada di Tingkatan Dua. Semenjak berada di Tingkatan Dua, saya mula tertarik dengan kehidupan rakan-rakan saya yang beragama Islam. Saya tertarik dengan cara hidup orang Islam yang berpuasa, solat dan menutup aurat bagi wanita. Dorongan itu kemudian datang setelah lama mengenali rakan-rakan yang beragama Islam ini. Saya juga suka membaca buku-buku, risalah-risalah, serta ceramah yang berkaitan dengan agama Islam. Disebabkan terlalu tertarik dengan agama Islam juga, saya juga telah belajar dengan sendiri disertakan bimbingan dari rakan-rakan untuk berpuasa di bulan Ramadhan, bertudung dan belajar membaca jawi. Dan Alhamdulillah hasil daripada semangat dan bimbingan rakan-rakan saya telah dapat menyesuaikan diri untuk mengamalkan kehidupan sebagai seorang Muslim. Bercerita mengenai hidayah ini, saya agak sukar untuk menerangkannya kerana niat dan perasaan untuk mempelajari tentang Islam ini lahir dari hati dan tidak dirancang sama sekali. Semua ini berlaku dengan pantas apabila saya mula berkawan dengan rakan-rakan yang beragama Islam, dan seperti hati saya telah terdetik untuk mempelajari lebih dalam keindahan agama Islam ini.

Soalan: Ditanya tentang penerimaan keluarga dan rakan-rakan apabila Shila mengambil keputusan untuk memeluk Islam:-

Penerimaan keluarga saya apabila mereka tahu mengenai hasrat saya untuk memeluk Islam, mereka sangat menggalakkan dan tidak menentang niat saya itu. Mereka malah memberikan pesanan agar tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam untuk mempelajari tentang Islam. Keluarga saya tidak menghalang kerana kakak saya juga merupakan seorang mualaf jadi keluarga saya sudah dapat menerima dengan terbuka perkara ini. Kalau berkenaan rakan-rakan pula, mereka juga sangat menggalakkan dan member bimbingan kerana sebeum ini pun merekalah tempat saya bertanya dan belajar mengenai agama. Namun begitu, terdapat juga segelintir rakan-rakan yang bersikap sinis apabila mereka mengetahui hasrat saya untuk memeluk Islam. Namun saya tidak ambil kisah sangat kerana saya faham apa yang mereka rasa dan saya sentiasa berdoa agar mereka juga diberikan peluang dan hidayah untuk mengenal dan mempelajari Islam.

Soalan: Apakah perasaan Shila apabila mengucap dua kalimah syahadah:-

Apabila ingin mengucapkan dua kalimah syahadah, perasaan saya pada ketika itu sangat gementar dan takut. Kerana walaupun saya telah menerimanya namun untuk memeluk agama Islam ini adalah suatu keputusan yang serius. Ini kerana, selepas saya bergelar seorang Muslim, di fikiran saya terlintas samada saya dapat menjalankan kehidupan sebagai Muslim yang sejati. Itulah yang bermain di fikiran saya sebelum saya mengucap dua kalimah syahadah. Namun selepas sahaja saya mengucap dua kalimah syahadah, saya berasa sangat tenang dan berasa seperti saya telah dilahirkan semula. Tidak dapat saya gambarkan perasaan saya pada ketika itu tapi apa yang dapat saya ungkapkan, perasaan di saat itu terasa sangat indah dan tenang. Seolah-olah semua masalah yang saya hadapi sebelum ini telah hilang dan apa yang dapat saya ungkapkan pada waktu itu adalah rasa bersyukur yang teramat sangat kepada Allah SWT.

Soalan: Bagaimanakah kehidupan Shila selepas bergelar seorang Muslim:-

Kehidupan saya setelah bergelar Muslim tidak banyak berubah kerana sebelum memeluk Islam saya telah melatih diri untuk menjalani kehidupan seorang Muslim dengan belajar berpuasa, membaca jawi dan menutup aurat. Selain itu juga, jika sebelum ini saya berasakan kehidupan saya seperti kosong tetapi setelah memeluk agama Islam, kehidupan saya berasa lebih terisi dan tenang. Saya sentiasa berasa gembira dan saya dapat menangani masalah-masalah yang datang dengan cukup tenang.

Soalan: Mengapakah Shila tertarik dengan Islam:-

Saya tertarik dengan Islam kerana Islam adalah satu agama yang unik. Islam menjaga aqidah manusia melalui kewujudan hukum halal dan haram. Dengan hukum halal dan haram ini dapat membimbing manusia agar menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab. Disamping itu juga, halal dan haram ini juga bertindak sebagai benteng penyelamat umat manusia daripada perkara-perkara yang melalaikan, melekakan dan sia-sia. Islam juga adalah sebuah agama yang neutral. Islam bergerak seiring dengan kehidupan seorang manusia dan jika kita mengikut landasan yang betul, Insyallah kita akan menjadi seorang insan yang berguna dan berjaya di dunia dan akhirat.

Soalan: Apakah harapan Shila:-

Saya berharap agar Allah SWT akan dapat memberikan hidayah dan membuka hati ahli keluarga saya yang lain untuk memeluk agama Islam. Saya juga berharap agar kita semua umat Islam akan menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Insyallah.


PENUTUP

Sebagai kesimpulannya, maksud mualaf ini bukan sahaja boleh didefinisikan melalui maksud bahasa semata-mata tetapi juga boleh didefinisikan melalui definisi oleh para ulama, definisi semasa dan juga dari segi istilah. Maksud di dalam keempat-empat konteks ini kelihatan agak sama kerana semua definisi ini adalah datang daripada firman Allah SWT melalui Surah al-Taubah. Namun begitu, apa yang membezakan definisi-definisi ini adalah ianya adalah berdasarkan kepada pendapat masing-masing mengikut pemahaman masing-masing tetapi ianya masih tidak terpesong dari apa yang tertulis didalam al-Quran. Harus kita sedari juga bahawasanya Mualaf ini bukanlah suatu perkara yang baru kerana ianya telah wujud sejak zaman Rasulullah lagi. Mualaf sama seperti umat Islam yang lainnya dimana mereka adalah datang daripada latarbelakang yang berbeza, keturunan yang berbeza, serta bahasa pertuturan yang berbeza. Namun itu semua hanyalah perbezaan duniawi semata-mata. Selain daripada itu juga, segelintir daripada kita mungkin berfikiran bahawa perkara berkaitan mualaf ini hanya berhenti apabila seseorang mualaf itu mengucap dua kalimah syahadah. Tanpa kita sedari, sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu kita semua tahu berkaitan mualaf ini. Antara lainnya adalah seperti hak-hak seorang mualaf selepas dia bergelar Muslim, syarat-syarat yang diperlukan untuk memeluk Islam dan juga perkara-perkara yang boleh membatalkan keislaman seseorang. Umat Islam khususnya perlulah mengambil tahu mengenai perkara ini sebagai bekalan untuk kita pada masa akan datang. Umat Islam juga perlulah menerima golongan mualaf ini dengan hati dan minda yang terbuka agar kita semua dapat bersama-sama memperbaiki diri masing-masing. Kerana, di sisi Allah SWT, umat Islam adalah sama tanpa mengira bangsa, budaya, latarbelakang, warna kulit, keturunan dan bahasa kerana walaubagaimanapun kehidupan mereka, umat Islam tetap menyembah Tuhan, Allah Yang Maha Esa dan percaya bahawa Muhammad itu adalah pesuruh-Nya.


RUJUKAN

alasrarfilqalb.blogspot.com. (2010, Mac 22). Retrieved September 20, 2010, from Hak Anak Lebih Utama Daripada Penjaga: http://alasrarfilqalb.blogspot.com

baheis.islam.gov.my. (n.d.). Retrieved September 20, 2010, from Ruangan Soal Jawab Kemusykilan Agama: http://baheis.islam.gov.my

Hikmah, A. (2009, May 5). ariefhikmah.com. Retrieved September 20, 2010, from Hal-hal Yang Membatalkan Keislaman Seseorang: http://ariefhikmah.com

Hikmah, A. (2009, May 5). ariefhikmah.com. Retrieved September 20, 2010, from Syarat Utama Bagi Orang Yang Masuk Islam: http://ariefhikmah.com

Pao, N. A. (2008, August 18). athiroh-ukm.blogspot. Retrieved September 20, 2010, from Kenali Saudara Baru: http://athiroh-ukm.blogspot.com

Sisters In Islam. (2005, May 13). Retrieved September 20, 2010, from Hak Harta Untuk Orang Bukan Islam: http://www.sistersinislam.org.my